Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memuji Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang membawa imej sederhana dan tahu menghormati kawan serta lawan.

Menyifatkan Menteri Pengangkutan itu sebagai pemimpin yang realistik, Puad berkata, gaya kepemimpinan Loke juga disenangi ramai pihak.

Namun, katanya, setiap parti politik termasuk DAP memang wujud ‘budak nakal’ yang tidak boleh dikawal sehingga menyusahkan parti.

“Masalahnya “bad boy” dalam mana-mana parti politik termasuk DAP. Akan ada ahli atau pemimpin parti yang tidak boleh dikawal.

“Cakap ikut suka hati dan menyusahkan parti,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Puad berkata demikian mengulas kontroversi yang dicetuskan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham agar kerajaan melantik pakar bukan Islam membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Loke ketika diminta memberikan pandangannya berhubung perkara yang dibangkitkan Koo Ham mengakui ia satu kekhilafan dan menegaskan partinya menghormati kebijaksanaan Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dalam membuat keputusan.

Susulan itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam menitahkan, mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam.

Puad turut menamakan Koo Ham; bekas setiausaha publisiti DAP, Tony Pua serta veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang antara individu yang sering membuat ‘kenyataan kontroversi dan tiada keperluan’.

“Tetapi, cakap mereka dilihat seperti pendirian rasmi parti. Sebab itu ada parti terpaksa mengambil tindakan tata tertib, dipecat atau digantung.

“Itu bukan tidak demokratik. Ingkar pendirian parti sebenarnya tidak demokratik. Negara perlu pemimpin lebih realistik seperti Anthony Loke,” ujarnya. – MalaysiaGazette