WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memintas Kongres buat kali kedua bulan ini untuk meluluskan satu lagi penjualan senjata kepada Israel.
Nilai penjualan senjata termasuk peluru artileri M107 155mm dan peralatan berkaitan dianggarkan bernilai AS$147.5 juta (RM667 juta).
Setiausaha Negara, Antony Blinken berkata, peluru artileri akan dipindahkan dari stok sedia ada terus kepada Israel.
“Amerika Syarikat komited terhadap keselamatan Israel, dan adalah penting bagi kepentingan negara AS untuk membantu Israel membangunkan dan mengekalkan keupayaan pertahanan diri yang kukuh dan bersedia.
“Penjualan yang dicadangkan ini selaras dengan objektif tersebut,” kata Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan dalam satu kenyataan seperti yang dilaporkan Anadolu.
Penjualan tersebut dibuat ketika Israel mempertingkatkan serangan dan pengeboman ke atas Gaza yang kini telah mengorbankan lebih 22,000 nyawa lebih 70 peratus adalah bayi, kanak-kanak dan wanita.
Sebelum ini media melaporkan, AS telah menghantar lebih 10,000 tan persenjataan kepada Israel sejak negara zionis itu melancarkan serangan ke atas Gaza pada 7 Oktober lalu.
Menurut penyiar Israel Channel 12, sejumlah 244 pesawat pengangkut AS dan 20 kapal digunakan untuk mengangkut senjata yang telah digunakan untuk membunuh lebih 20,000 penduduk Gaza selain memusnahkan rumah dan infrastuktur awam.
Kementerian Keselamatan Israel juga telah membuat hampir AS$2.8 bilion (RM4.6 bilion) dalam pembelian tambahan dari AS. Semua barisan pengeluaran industri ketenteraan “Israel” dilaporkan beroperasi secara berterusan.
Maklumat itu didedahkan berikutan ahli politik Likud, Tally Gotliv mempersoalkan kuantiti tembakan meriam di selatan Gaza telah menurun dengan ketara sejak tiga minggu lalu.
TV Israel itu selanjutnya menyentuh dakwaan bahawa pasukan pendudukan Israel (IOF) terlibat dalam apa yang disebut “ekonomi persenjataan.”
Laporan itu menekankan bahawa peralatan ketenteraan yang dihantar ke Israel sejak permulaan perang merangkumi pelbagai barangan, termasuk “kenderaan berperisai, persenjataan, peralatan perlindungan diri, bekalan perubatan, peluru dan banyak lagi. – Agensi