Israel terus melakukan pengeboman ke atas penduduk Gaza

GAZA CITY – Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA) melaporkan keadaan terkini di Gaza kian meruning.

Dalam 24 jam antara Khamis dan petang Jumaat, 187 lagi rakyat Palestin terbunuh dan 312 cedera dalam serangan tentera Israel.

Menurutnya, penyebaran penyakit dilaporkan semakin meruncing di Gaza, khususnya di bahagian selatan yang menjadi tumpuan pelarian dari utara selepas ia menjadi sasaran pengeboman berterusan Israel sejak 80 hari lalu.

Hampir 180,000 rakyat Palestin mengalami jangkitan saluran pernafasan; kira-kira 136,400 orang mengalami cirit-birit – separuh daripada kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Lebih daripada 5,300 kes cacar air telah dilaporkan; 42,700 orang mengalami ruam kulit; lebih daripada 4,680 mempunyai kes Sindrom Jaundis Akut; dan 126 kes meningitis telah dilaporkan.

Pegawai PBB berkata, tentera Israel melepaskan tembakan ke arah konvoi bantuan kemanusiaan ketika ia dalam perjalanan pulang dari Gaza utara di sepanjang laluan yang ditetapkan oleh tentera Israel.

Sepuluh orang dilaporkan terbunuh pada hari Khamis apabila Israel menyerang sekitar Hospital El Amal.

Pada hari Rabu, 31 orang terbunuh apabila Israel menyerang lokasi yang sama. Kira-kira 14,000 orang yang kehilangan tempat tinggal berlindung di sekitar hospital.

Sementara itu media antarabangsa melaporkan, tentera Israel pada hari Jumaat melepaskan gas pemedih mata ke arah rakyat Palestin ketika mereka cuba masuk ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki untuk solat.

Israel telah mengehadkan dengan ketat bilangan jemaah yang memasuki masjid, tapak ketiga paling suci dalam Islam, sejak bermulanya perang di Gaza.-Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast