Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S.Vijaya Rao

KUALA LUMPUR – Polis menagih kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berhubung insiden beberapa kenderaan mengekori kenderaan membawa mayat yang membuat pusingan U sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di Klang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan mengenai rakaman video yang tular berdurasi 1 minit 12 saat dikesan di muat naik melalui laman sesawang Facebook milik akaun bernama Din Toyol mengenai kejadian tersebut pada jam 8.13 malam.

“Pemerhatian terhadap video itu mendapati ia memaparkan beberapa buah motosikal dan kereta nombor pendaftaran tidak pasti mengiringi sebuah kenderaan membawa mayat dari arah Klang membuat pusingan U  di susur Jalan Persiaran Hamzah Alang dan menghala semula ke Klang.

“Insiden itu didakwa telah menghalang lalu lintas di Persimpangan lampu isyarat pekan Meru,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Rao, siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku hari ini pada jam lebih kurang 4.05 petang.

“Berikutan laporan polis itu, polis membuka kertas siasatan si bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi Inspektor Zulkarnain Johari di talian 019-5597107.- MalaysiaGazette