SEOUL – Korea Utara sudah tampil dengan beberapa perancangan besar bagi tahun 2024 termasuklah melancarkan tiga lagi satelit peninjau tentera dan membina kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).
Ia bagi memperkukuhkan keupayaan ketenteraan negara tersebut.
Agensi berita Pyongyang, KCNA melaporkan, perancangan itu ada dalam laporan mesyuarat akhir tahun yang dipengerusikan oleh pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un baru-baru ini.
Kata KCNA, pelancaran itu berikutan kejayaan besar negara ini yang telah melancarkan satelit peninjau pertama pada 2023, tiga lagi satelit pada tahun depan (2024).
“Korea Utara juga sangat bersungguh-sungguh dalam pembangunan sains dan teknologi angkasa,” katanya yang memetik laporan akhir tahun tersebut.
Dalam laporan itu juga turut diselitkan ucapan Jong-un yang mendedahkan negara ini tidak mempunyai pilihan tetapi meneruskan cita-cita nuklearnya.
Selain itu, Jong-un juga mendedahkan hasrat untuk menjalinkan hubungan diplomatik lebih mendalam dengan negara anti-Amerika Syarikat (AS) seperti Russia. -MalaysiaGazette