Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pakar perubatan mengingatkan kes jangkitan COVID-19 mungkin melonjak semula pada Februari apabila negara sekali lagi memasuki musim perayaan.

Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh tidak menafikan kemungkinan jumlah kes COVID-19 akan melonjak pada akhir Januari dan awal Februari.

Beliau berkata, walaupun jumlah kes dijangka menurun sedikit pada Januari, tetapi disebabkan perayaan Tahun Baharu Cina, kes akan melonjak semula.

Katanya, keadaan wabak bagaimanapun tidak akan bertambah teruk jika tidak muncul varian baharu yang bahaya dan mampu menyebabkan kes masuk hospital dan kematian meningkat.

Dr. Sharifa bagaimanapun menegaskan kepentingan suntikan booster , memakai pelitup muka, menjaga kesihatan dan berat badan, jauhi rokok dan mengawal penyakit tidak berjangkit.

Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Tabib Tionghua Malaysia, Bill Leong Yee Piau berkata, jangkitan COVID-19 mungkin tidak menurun pada Januari kerana selain Tahun Baharu, ramai orang juga berkumpul untuk pelbagai program awal tahun.

Katanya, orang yang pernah terjangkit COVID-19 atau menunjukkan gejala teruk semasa jangkitan sebelum ini didapati lebih mudah dijangkit semula.

“Warga emas, mereka yang mengalami alahan hidung dan saluran pernafasan juga merupakan golongan yang berisiko,” katanya.

Sebelum ini,  Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah kes jangkitan COVID-19 dijangka menurun pada Januari.

Beliau berkata, situasi COVID-19 ketika ini dipantau berdasarkan empat kriteria iaitu jumlah jangkitan, kes kematian dan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) serta beban yang dihadapi oleh fasiliti kesihatan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast