PEKAN – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Temai di Pekan akan meneruskan sesi pembelajaran melalui keadah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ekoran air masih belum surut.
Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata seramai 493 pelajar daripada dua sekolah berkenaan akan memulakan sesi PdPR bermula esok.
Menurutnya cadangan kaedah pembelajaran tersebut bagi memastikan pelajar dapat meneruskan mengikut pelan rancangan pendidikan seperti yang dijadualkan.
”Ia membabitkan seramai 365 pelajar bagi SMK Paloh Hinai terdiri daripada Tingkatan Satu hingga Tiga manakala SK Temai pula seramai 128 murid.
“Keputusan itu dibuat kerana atas faktor keselamatan murid kerana sehingga kini paras air di SK Temai pada kedalaman 0.8 meter (m).
“Murid-murid belajar di rumah melalui PdPR kerana tidak mahu mereka ketinggalan dalam pelajaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun sesi pembelajaran di sekolah seperti biasa akan dilaksanakan semula sekiranya air di kawasan sekolah berkenaan kembali surut. – MalaysiaGazette