Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di tiga negeri terus mencatatkan penurunan dengan hanya 1,122 orang masih ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) tengahari tadi.

Ia berbanding 1,483 orang di 15 PPS pada sebelah pagi.

Laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menunjukkan, jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 1,034 orang yang berada di sembilan PPS.

Menurut laporan itu, PPS di Kelantan merangkumi enam di Tumpat yang menempatkan 744 orang, dua di Pasir Mas (274) dan satu di Kuala Krai (16).

Di Pahang, bilangan mangsa banjir kekal 34 orang yang berlindung di dua PPS di Maran, manakala 87 mangsa insiden tanah runtuh di Cameron Highlands kekal berada di sebuah PPS.

Jumlah mangsa banjir di Johor pula tidak berubah dengan 54 orang masih berada di dua PPS di Segamat setakat 12 tengahari tadi. – MalaysiaGazette