Mangsa Mohamad Farhan Hakimi Mohd Rasidi, 19, maut ditempat kejadian dalam nahas melibatkan dua buah motosikal bersama rakannya selepas meraikan sambutan tahun baharu di Jalan Tun Abdul Razak, Melaka awal pagi tadi.

MELAKA – Seorang pelajar sekolah maut dalam nahas dua buah motosikal bersama rakannya selepas meraikan sambutan tahun baharu di Jalan Tun Abdul Razak di sini awal pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Mohamad Farhan Hakimi Mohd Rasidi, 19, merupakan pelajar Tingkatan 6, Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Chiristopher Patit berkata, polis menerima aduan nahas kira-kira pukul 4.40 pagi di kaunter Aduan Trafik Melaka Tengah.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR datang dari arah jejambat Kota Cemerlang menuju ke arah Lampu Isyarat Taman Muzaffar Shah.

“Mangsa tiba-tiba menukar ke lorong kanan untuk memintas motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang rakannya yang juga pelajar sekolah lain berusia 17 tahun sebelum kedua-duanya bergesel sesama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Christopher, akibatnya motosikal Y15ZR berkenaan telah terbabas menyebabkan si mati tercampak ke atas jalan raya namun rakannya itu sempat mengawal motosikal dan terselamat tanpa sebarang kecederaan.

“Mohamad Farhan Hakimi disahkan maut di lokasi kejadian dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca kemalangan.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan notis Pol 61 dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Tambah Christopher, polis meminta saksi kejadian sekiranya ada untuk tampil membantu kes yang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast