LVGT
Kenaikan harga payung yang dikesan di sebuah platform jualan dalam talian selepas LVGT dilaksanakan semalam. - Gambar: Facebook Lim Sian See

KUALA LUMPUR – Harga banyak barangan yang dijual melalui platform dalam talian seperti Shopee dan Lazada meningkat dengan ketara selepas pelaksanaan Cukai Barang Nilai Rendah (LVGT) semalam.

Penganalisis politik dan sosial, Lim Sian See memberi contoh, payung yang dibelinya pada harga RM39.20 pada 6 Disember lalu kini meningkat kepada RM48.

“Secara keseluruhan termasuk pelbagai diskaun, promosi dan kos penghantaran, saya telah bayar RM31.32 pada 6 Disember lalu.

“Jika saya nak beli semula dari penjual yang sama hari ini, harga keseluruhan yang saya perlu bayar sudah naik ke RM46.06 iaitu kenaikan 47.1 peratus,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

LVGT sebanyak 10 peratus ke atas barang bernilai di bawah RM500 sepatutnya dikuatkuasakan mulai 1 April 2023 namun ditangguhkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada Mac tahun lalu.

Sian See berpandangan, seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), LVGT mempunyai kelemahan berbanding cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana sebarang kenaikan harga barang atau jumlah nilai cukai yang dikenakan tidak diberitahu secara jelas.

Menurut beliau, penjual cuma menaikkan harga barang asal sahaja untuk membayar cukai LVGT dan SST tanpa disedari atau diberitahu kepada pembeli.

Sebagai perbandingan, Sian See berkata, GST yang dikenakan pada peringkat pembelian terakhir di mana nilai cukai yang dibayar dinyatakan secara jelas dalam resit.

“Sebab ia tak telus kepada pembeli maka penjual boleh menaikkan harga jualan sesuka hati pada kadar yang lebih tinggi tanpa kesedaran dan pengetahuan pembeli dengan menggunakan alasan ada cukai baharu dikenakan kerajaan.

“Mereka sudah ada alasan untuk menaikkan harga penjualan, kenapa tak naikkan sedikit lagi melebihi kesan cukai baharu itu?” soalnya. – MalaysiaGazette