Kenaikan harga untuk minuman melebihi paras gula yang ditetapkan, khususnya kordial tidak dapat dielakkan.

KUALA LUMPUR – Kenaikan duti eksais untuk minuman bergula daripada 40 sen kepada 50 sen akan membawa kenaikan harga kepada produk berkenaan.

Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia, Hong Chee Meng berkata, kenaikan harga untuk minuman yang melebihi paras gula yang ditetapkan, khususnya kordial, adalah tidak dapat dielakkan.

Beliau memberitahu China Press, peruncit telah menerima makluman penyelarasan harga daripada pengilang susulan kenaikan duti eksais itu yang bermula 1 Januari 2024.

Katanya, kenaikan duti eksais adalah pada kadar 25 peratus, tetapi kenaikan harga oleh pihak pengilang lazimnya tidak sampai 25 peratus, bergantung kepada keputusan masing-masing.

Ujarnya, dengan kenaikan harga oleh pengilang, peruncit juga akan menyelaraskan harga jualan untuk mengelakkan kerugian.

Tegasnya, minuman gula yang tidak mencapai paras gula atau nilai ambang jumlah gula yang ditetapkan tidak akan terjejas oleh duti eksais itu.

“Disebabkan minuman kordial dan jus kordial mempunyai kandungan gula yang tinggi, maka pastinya akan terjejas,” katanya.

Kadar duti eksais bagi minuman bergula dinaikkan daripada 40 sen kepada 50 sen untuk 100 milimeter (ml) pada 2024.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ucapan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

Menurut maklumat, dasar itu meliputi minuman bergas dan minuman tidak-beralkohol lain dengan nilai ambang jumlah gula melebihi lima gram untuk setiap 100 ml.

Turut diliputi, minuman berasaskan susu haiwan dengan nilai ambang jumlah gula melebihi tujuh gram untuk setiap 100 ml.

Jus buah-buahan atau jus sayur-sayuran sama ada mengandungi gula tambahan atau mengandungi bahan pemanis yang lain dengan nilai ambang jumlah gula melebihi 12 gram untuk setiap 100 ml juga tidak terkecuali. – MalaysiaGazette