KAJANG – Kerajaan disarankan mengambil inisiatif secara serius untuk memperkasakan penggunaan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan percetakan Tiga Dimensi (3D) untuk mengawal penghasilan dan pengedaran dadah secara lebih meluas di peringkat huluan dan hiliran dengan mengambil inspirasi daripada amalan terbaik dari negara lain.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sutekno Ahmad Belon berkata, pihaknya mahu tindakan segera selepas mengambil kira pandangan para sarjana, penyelidik dan pakar menerusi penganjuran Simposium Sains Penagihan Dadah
Kebangsaan (SSPDK 2023) pada Oktober lalu mengenai cabaran mendatang membabitkan dadah.
Katanya, rata-rata para pakar menyatakan cabaran ancaman dadah dalam era Industri Revolusi 4.0 amat besar kerana perkembangan teknologi terkini seperti teknologi percetakan tiga dimensi (3D), Teknologi Internet of Things (IoT) dan teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) mempunyai impak terhadap penghasilan dadah pada skala yang tidak mampu difikirkan, dengan tahap akses yang meluas, yang merentas sempadan negara dan boleh menjejaskan keselamatan insan.
“Sehubungan itu, semua agensi kerajaan khususnya pemegang taruh yang berkenaan harus meningkatkan kapasiti dan kesediaan dalam kalangan pihak berkuasa dan masyarakat umum dalam menghadapi evolusi cabaran penyalahgunaan dadah dalam era Industri Revolusi 4.0.
“Pada masa yang sama, AADK sendiri juga telah membangun dan mengaplikasikan
beberapa teknologi dalam pengurusan seiring dengan perkembangan teknologi semasa supaya perkhidmatan yang dilaksanakan memberi impak yang lebih tinggi,” katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2024 AADK di sini hari ini.
Tambah beliau, antara teknologi dalam pengurusan yang dibangunkan oleh AADK adalah seperti Sistem Pengurusan Klien (MyAADK) bagi merekodkan setiap pelaksanaan perkhidmatan AADK; Sistem Hub Aduan dan Repot Penguatkuasaan (SHARP) untuk merekodkan setiap aduan dan maklumat risikan yang berpusat di Ibu Pejabat AADK untuk disalurkan segera kepada Pejabat AADK Daerah dan (iii) Smart Monitoring and Reporting Tools for Enforcement (eSMART) iaitu portal aduan awam berkaitan penyalahgunaan dadah secara end-to-end.
Katanya, data dalaman AADK juga telah ditambah nilai melalui pelaksanaan
integrasi bersama Jabatan lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM); dan Malaysia Drug Profiling System (MyDPS) yang dibangunkan dengan kerjasama pihak MAMPU di bawah projek Data Raya Sektor Awam 2.0 untuk membuat profiling kawasan di seluruh negara berdasarkan keparahan permasalahan dadah.
“Selain itu, sistem amaran awal iaitu rangkaian antara agensi pelbagai disiplin yang bertujuan untuk membolehkan pertukaran maklumat dalam kalangan pelaksana utama menerusi bidang berkaitan dadah, mengenal pasti ubat-ubatan baharu yang menimbulkan potensi ancaman kepada kesihatan awam, mengenal pasti perubahan dalam pasaran ubat contohnya corak penggunaan baharu, kepekatan luar biasa, memudahkan penilaian risiko yang ditimbulkan oleh ubat-ubatan tersebut dan menyediakan bukti untuk membimbing tindak balas yang berkesan.
“Malah, AADK juga telah meningkatkan pengaplikasian teknologi dengan menggunakan media sosial seperti saluran AADK TV melalui platform YouTube bagi memaparkan semua perkhidmatan yang disediakan dan menyebarluaskan lagi kempen kesedaran berkaitan kesan bahaya penyalahgunaan dadah,” ujarnya lagi.
Bercakap kemudian kepada pemberita, Sukteno turut menyeru para ibu bapa dan penjaga agar memberi kerjasama dengan menjaga serta memantau secara rapat gerak-geri serta aktiviti anak-anak atau ahli keluarga mereka mengenai penggunaan teknologi yang akan membawa mereka kepada bekalan dadah.
Mengulas lebih lanjut lagi Sukteno berkata, wujud cabaran terkini pengedaran dan pembekalan dadah melalui teknologi terkini atas talian dan sebagainya yang mana mereka yang terlibat penagihan dadah hanya perlu menekan telefon pintar sebagainya mengesan bekalan dadah dari pengedar.
“Apa yang kita kesan sekarang adalah selain dari AI dan sebagainya lebih kepada secara umumnya penggunaan teknologi membuka ruang luas pengedar membekal dadah dan mereka boleh menerima pesanan dari pembeli secara atas talian sekarang berdasarkan maklumat yang diterima daripada klien-klien (penagih) kita maklumat-maklumat daripada mana mereka dapat bekalan dan ianya mudah didapati dan sukar untuk dikesan.
“Ini saya kira ini antara cabaran yang perlu dilihat serius oleh semua pihak tetapi cuma AADK sedang meningkatkan aplikasi-aplikasi tertentu untuk membantu merekodkan program-program rawatan kita dan juga untuk membina pangkalan data khusus untuk menyediakan profil setiap daerah itu,” tegasnya.- MalaysiaGazette