Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din bertukar sebagai Pengarah JKDNKA menggantikan Datuk Seri Hazani Ghazali. Foto FAREEZ FADZIL, 17 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini telah mengesahkan tangkapan seorang lelaki warga Malaysia yang disyaki merupakan ‘raja dadah’ di Laos.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya menerima makluman daripada Office of the Narcotics Control Board (ONCB) Thailand mengenai tangkapan suspek oleh polis Laos pada 28 Disember lalu di Vientiane.

“Suspek dicekup polis Laos atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah di bawah Akta Imigresen Laos.

“Pihak ONCB Thailand telah mencadangkan kepada polis Laos supaya suspek diusir ke Thailand kerana suspek telah disenarai hitamkan di bawah kesalahan Akta Dadah Thailand untuk tindakan lanjut.

“Siasatan mendapati suspek merupakan warga tempatan berusia 41 tahun dan sudah berkahwin selain berasal daripada Parit Buntar, Perak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Kamarudin, suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket dadah di Malaysia.

“PDRM khususnya JSJN kini sedang bekerjasama dengan pihak ONCB Thailand dan pihak berkuasa polis Thailand bagi menjalankan siasatan lebih lanjut berhubung kes berkenaan.

“Segala tindakan yang perlu akan diambil untuk memastiukan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah yang menjadi ancaman negara dapat dibanteras tanpa kompromi,” tegas Kamarudin lagi.

Terdahulu media melaporkan suspek yang dikehendaki polis Thailand kerana kesalahan menyeludup dadah ditahan dalam operasi bersama Thai-Laos 29 Disember lalu.

Suspek warga Malaysia yang didakwa pengedar dadah dan ahli penting sindiket dadah dikesan bersembunyi di Laos, menurut polis Thailand.

Penolong Ketua Polis Negara Leftenan Jeneral Panurat Lakboon berkata, Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) menyiasat lelaki warga Malaysia itu, yang disyaki pengedar dadah yang memainkan peranan penting sebagai pemeroleh dan penyelaras dalam perdagangan dadah di kawasan Segi Tiga Emas sejak 2006. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Raja dadah Malaysia ditahan di Laos

1 Komen

Comments are closed.