Sesi pertukaran tanda tahun di jata Universiti Malaya (UM) pada detik 12 tengah malam sempena tahun baru.

KUALA LUMPUR – Setiap tahun baru, tepat pada detik 12 tengah malam, tanda tahun yang terletak di bawah jata Universiti Malaya (UM) akan ditukar ke tahun berikutnya.

Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, acara itu bukan sahaja dianggap sebagai tradisi yang mampu meningkatkan rasa bangga dan kesatuan dalam kalangan warga UM tetapi juga merupakan satu alternatif sambutan yang lebih selamat, jimat dan ringkas.

Tradisi puluhan tahun itu tetap diteruskan tahun ini, meskipun dengan penuh kesederhanaan sebagai tanda sokongan kepada warga Palestin.

“Tradisi unik tidak rasmi yang berlangsung berdekatan Dewan Tunku Canselor setiap tahun mampu menarik penglibatan ratusan malah ribuan pelajar, alumni dan staf.

“Sambutan di luar kampus walaupun amat meriah namun agak memakan masa dan wang sekiranya para pelajar ingin menyertainya. Di sini, para pelajar dapat menyambut dalam keadaan lebih tenteram, terkawal, percuma dan bersama rakan-rakan mereka.

“Mereka juga boleh terus kembali ke kediaman sekitar kampus setelah usai acara tersebut dengan cepat tanpa menghadapi masalah pengangkutan dan sebagainya,” katanya dalam  kenyataan.

Noor Azuan berkata, buat julung kalinya barisan pengurusan universiti yang diketuai oleh beliau menyertai bersama warga UM sempena sesi pertukaran tanda tahun.

Majlis turut dihadiri Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Prof. Dr. Azlinda Azman bagi menyaksikan tradisi itu diteruskan.

“Kemeriahan sambutan kali ini lebih dirasai dengan kehadiran sekitar 2,000 orang warga UM yang terdiri daripada pelajar, alumni, staf dan orang awam yang mula berkumpul sejak  10.30 malam lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast