KUANTAN – Akibat terpedaya ayat-ayat cinta seorang janda, seorang tukang pasang mozek mengalami kerugian sebanyak RM29,000 dalam tempoh seminggu perkenalan.
Foong Mun Fei, 42, menjadi mangsa penipuan itu apabila dipengaruhi sindiket jual beli barangan dalam aplikasi dikenali Ubei sejak 5 Disember lalu.
Menggunakan gambar profil yang jelita, wanita berkenaan menghubungi mangsa melalui aplikasi Facebook menyatakan ingin berkenalan dengan mangsa untuk mencari teman hidup selepas bercerai dengan suaminya.
”Wanita itu kemudian menghubungi saya dan berbual melalui Whatsapp. Selepas seminggu dia minta untuk membeli barang seperti jam dan barang kemas dan kemudian barang yang dibeli perlu dijual untuk mendapat keuntungan.
”Dia panggil saya dengan dia beli barang, saya tengok banyak untung tak payah banyak masa, lima minit saja tekan-tekan beli- beli sudah untung banyak, saya pun cubalah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang dan wakil Malaysia International Humanitarian Organization (MHO), Daniel Khoo.
Jelas Mun Fei, beliau kemudian memasukkan wang ke dalam akaun sebanyak RM1,000 dan berjaya memperoleh RM250 melalui transaksi pertamanya.
Kerana percayakan suspek, mangsa kemudian memasukkan lagi wang ke dalam akaun yang berbeza sebanyak RM25,000 dan RM3,000 kerana dijanjikan mendapat keuntungan yang lumayan.
Walau bagaimanapun mangsa gagal mendapatkan kembali kesemua wang dilaburkan dan keuntungan yang dijanjikan ekoran keuntungan tersebut tidak dapat dikeluarkan kerana telah dibekukan.
Setelah merasa dirinya tertipu kerana gagal menghubungi wanita berkenaan, beliau membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.
Sementara itu, Chun Kuang berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada pemilik akaun bank agar tidak meminjamkan akaun mereka kepada pihak lain bagi mengelakkan akaun bank itu disalahguna untuk aktiviti penipuan. – MalaysiaGazette