Syaiful Rizal menyerahkan replika cek kepada penerima yang merupakan pelajar UUM yang kurang berkemampuan untuk menyambung pengajian.

KUALA LUMPUR – Dalam usaha membantu pelajar yang kurang berkemampuan Yayasan Bank Rakyat (YBR) memberikan Bantuan Awal Pengajian (BAP) dengan menyalurkan RM100,000 kepada pelajar B40 Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok sebagai inisiatif pertama bagi tahun 2024.

Replika cek Bantuan Awal Pengajian serta upacara perasmian dan gimik penyerahan telah disampaikan oleh Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani sempena Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian di UUM.

Turut hadir dalam sesi ini adalah Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Mohd Foad Sakdan; Ketua Bahagian Operasi, Mohd Mukhti Abd Rahman; Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat,
Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Sementara itu, Syaiful Rizal berkata, pemberian insentif itu mampu memberi semangat kepada para pelajar untuk meneruskan sesi pengajian dan meningkatkan motivasi mereka untuk kekal cemerlang.

“Diharapkan melalui bantuan ini menjadikan azam tahun baru pelajar semakin membara dan sedikit sebanyak pelajar dapat menggunakan bantuan tersebut bagi pembelian kelengkapan alatan pembelajaran yang masih belum mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

YBR sentiasa prihatin serta menyokong dalam memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan untuk mendapat kualiti pendidikan yang sama rata.

Bantuan itu melibatkan 100 pelajar semester 1 hingga 3 di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dengan peruntukan sebanyak RM1,000 setiap seorang dari kalangan keluarga B40 dan pemilihan mereka telah dikenalpasti oleh Jabatan Hal
Ehwal Pelajar UUM dan UniMAP.

Menurut Syaiful Rizal lagi, YBR akan kekal meneruskan komitmen bagi membangunkan komuniti berpendidikan selaras dengan mandat dan halatuju YBR bagi menjadikan kehidupan masyarakat bertambah maju, berkualiti serta berdaya saing.

“Dalam sesi yang berlainan, bantuan ini juga akan seterusnya akan dijalankan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan turut melibatkan 100 orang pelajar,” ujarnya.

Tahun ini seramai 3,605 pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.33 juta di seluruh negera. – MalaysiaGazette