Penunggang motosikal yang bertindak melawan arus bagi mengelak dari sekatan jalan raya sempena operasi khas malam ambang tahun baharu 2023 ketika di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 31 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 84 individu ditahan dan 6,297 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan kepada pengguna jalan raya dalam 137 operasi ambang tahun baharu di seluruh negara pada 31 Disember hingga 1 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, daripada jumlah itu, 52 individu disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala 24 ditahan di bawah Akta Imigresen 1959 dan lapan lagi ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Beliau berkata, daripada jumlah saman yang dikeluarkan, kesalahan tidak memaparkan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi merekodkan paling tinggi dengan 1,788 saman selain kesalahan tidak memiliki lesen memandu sebanyak 1,422 saman.

“Operasi yang berakhir pada 5 pagi itu turut menyita 366 kenderaan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Operasi itu membabitkan 4,378 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan. – MalaysiaGazette