KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Berhad menawarkan bantuan khas banjir yang merangkumi moratorium kepada pelanggannya yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, moratorium tersebut untuk semua pembiayaan individu dan perniagaan sehingga enam bulan serta penggantian kad debit dan kad kredit tanpa sebarang bayaran.
Menurut beliau, Bank Muamalat amat prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi pelanggannya termasuk individu serta perniagaan dan berharap bantuan khas banjir itu dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terlibat.
“Sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang sentiasa komited menyediakan ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ pelanggan, kami bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam menyokong dan membantu komuniti menempuhi waktu getir ini.
“Pelanggan yang menghadapi kesulitan kewangan berikutan bencana ini boleh memohon bantuan khas dengan memuat turun borang permohonan yang tersedia dalam laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my dan menghantar dokumen sokongan yang berkaitan menerusi e-mel [email protected],” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Khairul menambah, langkah proaktif akan diambil bagi memastikan proses dokumentasi dan kelulusan permohonan dipermudahkan.
Para pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat boleh mengunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-2600 5500. – MalaysiaGazette