GAMBAR HIASAN Tanjung Langsat Port Terminal.

KUALA LUMPUR – Tumpahan minyak yang menyebabkan pencemaran laut di Tanjung Langsat Port Terminal (TLPT), Johor berjaya dikawal setakat tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, susulan kejadian itu juga, operasi pemunggahan di TLPT telah dihentikan serta-merta, manakala Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) turut diaktifkan.

Menurut beliau, sebanyak dua unit oil boom turut dipasang menggunakan beberapa bot, selain pemantauan melalui udara menggunakan drone turut dilakukan Pasukan ERT.

Jelasnya, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, tiada lagi tompokan minyak kelihatan di permukaan air dan pihaknya akan membuat pemantauan berterusan di TLPT serta kawasan pantai sekitar Pasir Gudang.

“Pemakluman rasmi kepada pihak Marine Port Authority (MPA) Singapura juga telah dilakukan, dan sehingga kini melalui laporan yang diterima kawasan pantai Changi dan Terminal Feri telah tercemar dengan minyak.

“Setakat tengah hari ini, pencemaran minyak di laut dalam kawasan perairan Malaysia telah berjaya dikawal, dan pihak TLPT telah diarahkan untuk melaporkan status tindakan kawalan serta pembersihan minyak dari masa ke semasa sehingga operasi dapat dihentikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, menurut Wan Abdul Latiff, pihaknya menerima aduan mengenai tumpahan minyak yang disebabkan oleh kebocoran paip yang menyalurkan minyak Very Low Sulfur Fuel Oil (VLSFO) dari tangki terminal ke kapal MT EPITOME di jeti LTPT.

Jelasnya, dianggarkan sebanyak 1.6 meter padu minyak telah tertumpah ke laut dan JAS telah telah mengambil dan menghantar sampel air ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis.

Menurut beliau, koordinasi melibatkan agensi termasuk JAS; Jabatan Laut Wilayah Selatan (JLWS) dan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) akan terus dijalankan melibatkan pemantauan di pantai dan laut untuk memastikan kawasan tersebut bebas daripada pencemaran minyak.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai bekerjasama untuk melaporkan sebarang kejadian pencemaran minyak kepada JAS di talian bebas tol, 1-800-88-2727.

Berdasarkan Seksyen 27, Akta Kualiti Alam Sekeliling (1974) Pindaan 2024, mereka yang disabitkan kesalahan menyebabkan pencemaran minyak boleh dikenakan denda minimum RM150,000 sehingga maksimum RM10,000 atau penjara selama tempoh sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast