Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran supaya mempertimbangkan kenaikan gaji dalam bentuk elaun khas terlebih dahulu sementara menunggu pelaksanaan pelarasan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat berkata, langkah itu boleh dilaksanakan sekiranya isu kewangan menjadi kekangan bagi kerajaan.

Menurut beliau, kerajaan boleh memansuhkan elaun khas tersebut setelah SSPA dimuktamadkan dan kenaikan gaji berlaku.

“Usaha ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan gaji bersih penjawat awam meningkat sementara menunggu pelarasan gaji dilaksanakan.

“Adalah menjadi harapan warga penjawat awam untuk menikmati skim upah yang lebih adil dan munasabah supaya mereka mampu berhadapan dengan situasi yang sukar ketika ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 15 Disember lalu, CUEPACS menggesa kerajaan melakukan penyelarasan segera bagi menaikkan gaji penjawat awam dan tidak perlu menunggu kajian di bawah SSPA selesai pada 2025.

Pada masa yang sama, Adnan memberitahu, CUEPACS menghargai komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyegerakan pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah untuk penjawat awam.

Namun, beliau berkata, tempoh untuk menunggu pelaksanaan SSPA adalah terlalu lama dan disifatkan tidak wajar memandangkan peningkatan kos sara hidup ketika ini yang meningkat begitu drastik berbanding pendapatan.

“Sudah hampir belasan tahun tiada sebarang bentuk penyelarasan dan kenaikan gaji secara drastik diterima oleh penjawat awam,” jelasnya.

Sehubungan itu, Adnan berkata, CUEPACS berharap kerajaan benar-benar serius untuk menyegerakan skim upah yang lebih adil dan munasabah tersebut.

“Memandangkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang digunakan perkhidmatan awam sejak 2002 ketika ini ibarat kerangka ‘rumah lama’ yang tidak lagi sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa negara,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, CUEPACS menyatakan penghargaan kepada kerajaan kerana memberi kepercayaan kepada penjawat awam dalam membangunkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan semalam.

“CUEPACS mencadangkan agar insentif khas diberikan kepada penjawat awam yang terlibat dalam membangunkan projek-projek besar kerajaan pada masa hadapan sebagai pengiktirafan dan galakan untuk mereka berusaha dengan lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette