Sebuah lori muatan besi yang sedang mengisi diesel berundur ke belakang dan merempuh kenderaan HOnda City yang menunggu di simpang jalan ke stesen minyak di Bandar Manjalara, Kepong dalam kejadian pagi tadi. Ihsan JSPT KL

KUALA LUMPUR – Sebuah kereta terbalik dan remuk gara-gara pemandu sebuah lori disyaki terlupa menari brek tangan dengan kemas untuk mengisi minyak di sebuah stesen di Bandar Manjalara, di sini, mengakibatkan kenderaannya mengundur ke belakang lalu melanggar sebuah kereta.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya terkesan rakaman video berkaitan insiden itu yang tular di platform X.

“Siasatah awal polis mendapati, kemalangan berlaku semasa sebuah lori yang membawa muatan besi telah diletakkan di salah satu pam minyak untuk pengisian bahan api.

“Pemandu lori berkenaan yang merupakan seorang lelaki berumur 52 tahun telah meninggalkan kenderaan berat sedang diisi bahan api itu dan menuju ke kaunter stesen minyak terbabit untuk proses pembayaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Sarifudin, dalam kejadian jam 10.30 pagi tadi, semasa pemandu lori itu sedang membuat pembayaran di kaunter stesen terbabit, tiba-tiba lori berkenaan bergerak secara mengundur lalu melanggar kereta Honda City yang sedang berhenti di simpang jalan stesen minyak itu untuk memasuki jalan besar.

Tambah beliau, kemalangan tersebut tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.

Katanya, polis telah membuka kertas siasatan dan kes diklasifikasikan di bawah Peraturan 14(1) LN 165/59 atas kesalahan kegagalan menarik brek tangan dengan kemas.

Sarifudin berkata, pemandu lori dan pemandu kereta Honda City telah membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu diminta menyalurkannya dengan menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69. – MalaysiaGazette