Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media selepas mesyuarat pasca kabinet di Kompleks Kementerian Komunikasi, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 03 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU) tidak ditangguhkan dan akan diteruskan meskipun timbul beberapa isu teknikal sejurus ia dilancarkan secara rasmi semalam.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada hari ini  memutuskan untuk meneruskan PADU selepas beberapa isu berbangkit selesai ditangani.

“PADU telah diluncurkan semalam dan akan diteruskan dan tidak akan ditangguhkan. Pada waktu ini kita dapati sistem tersebut berjalan dengan lancar dan isu dibangkitkan telah berjaya diselesaikan dalam jangka masa singkat.

“Malah, pemantauan tentang isu keselamatan juga terus dilakukan dan  tidak timbul isu untuk menangguhkan PADU,” katanya pada sidang media hari ini.

Jelas Fahmi, beliau  percaya segala isu berbangkit mengenai pelaksanaan PADU telah dititikberatkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan pasukannya.

Sebelum ini, bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming menggesa kerajaan supaya menangguhkan proses pendaftaran PADU sehingga beberapa beberapa kecacatan keselamatan diperbetulkan.

Beliau berkata, langkah itu perlu kerana wujud kecacatan dalam sistem pendaftaran PADU, termasuk menghendaki pengguna mengisi maklumat sama yang sudah ada dalam pangkalan data sistem itu.-MalaysiaGazette