MELAKA – Berang dengan tindakan mereka yang tidak kesedaran sivik membuang sampah sesuka hati di bahu jalan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Akmal Saleh sanggup membuat ‘kerja gila’ mencari individu terlibat.
Tindakan itu dilakukan pukul 12.55 pagi tadi apabila beliau dan seorang pembantunya menyelongkar beberapa longgokan plastik sampah yang dibuang di bahu Jalan Merlimau-Muar di sini.
Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, kemudian menjumpai plastik preskripsi ubat dari Klinik Merlimau atas nama Cik Aida.
“Tak pernah tengok YB (Yang Berhormat) selongkar sampah ya, ha malam ini kita nak tengok siapa yang buang sampah ni dalam sampah ini.
“Jadi Cik aida jangan risau, saya akan cari di Klinik Merlimau mana Cik Aida duduk dan saya kalau saya jumpa sampah ini semua saya akan letak di rumah Cik Aida,” katanya menerusi rakaman video berdurasi 2 minit 47 saat di Facebook rasminya hari ini.
Dr Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, tindakan itu amat dikesali kerana pada sebelah siangnya, beliau telah memastikan longgokan sampah yang dibuang di bahu jalan berkenaan sudah dibersihkan.
“Saya nak bagi tahu kepada semua yang buat perkara sebegini, jangan sampai saya dapat tangkap.
“Kalau saya tahu siapa yang buang sampah begini, saya akan cari sampai dapat dan longgokkan sisa-sisa ini di depan pintu rumah mereka,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette