Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membuat rampasan pelbagai jenis barangan penyeludupan kontraban, haiwan dan hidupan liar dianggarkan bernilai RM979.89 juta sepanjang tahun 2023.

Kejayaan itu dicapai menerusi pelaksanaan operasi bersepadu mengawal keselamatan sempadan negara bagi sepanjang tahun lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, sepanjang tempoh berkenaan, seramai 5,646 individu turut berjaya ditahan dengan sebanyak 7,355 kes telah dilaporkan sejak Januari sehingga Disember lalu.

“Jumlah itu membabitkan kejayaan dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan melibatkan nilai rampasan sebanyak RM384.23 juta, Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) membabitkan rampasan berjumlah RM301.84 juta,” katanya pada sidang media hari ini.

Selain itu, pasukan Polis Marin PDRM turut berjaya membuat rampasan berjumlah RM254.33 juta manakala Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) turut merekodkan rampasan barangan seludup berjumlah RM37.83 juta menerusi operasi tersebut sepanjang tahun lalu.

Tambah Ramli, tahun 2023 telah memberikan lebih cabaran kepada KDNKA berbanding tahun sebelumnya 2022 namun begitu banyak kejayaan berjaya dilakar pasukannya melalui peranan setiap unit serta cawangan yang digerakkan dari jabatan tersebut.

“Justeru, JKDNKA juga akan meningkatkan dan memperkukuhkan lagi keselamatan negara sepanjang tahun 2024 ini. Kita akan memberi keutamaan kepada tiga fokus utama termasuk memperkukuh penguatkuasaan keselamatan di sempadan dan perolehan aset moden dalam menjamin kedaulatan dan ketenteraman awam.

“Selain itu, kita juga akan komited dalam menjamin keselamatan khazanah negara dan keterjaminan sekuriti makanan dengan memperkasa jaringan kolaborasi pelbagai agensi,” ujarnya.

Tegasnya lagi, JKDNKA juga akan memberi fokus kepada keselamatan perbatasan dan pemantauan penguatkuasaan undang-undang darat serta maritim di perairan negara dengan mewujudkan Forward Operation Base (FOB) selain kerjasama jabatan berkaitan.

“PDRM melalui JKDNKA sentiasa komited dalam usaha mengawal dan mengekalkan ketenteraman awam selain bertumpu isu ketenteraman jabatan itu turut terbabit pengurusan bencana.

“Operasi bersepadu bersama-sama agensi penguatkuasaan yang lain akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk menjamin keselamatan negara agar sentiasa terpelihara dari sebarang bentuk ancaman.

“Penglibatan dan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis juga sangat dialu-alukan supaya kegiatan jenayah dapat dibanteras sepenuhnya serta ketenteran awam sentiasa dijamin dalam negara ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast