Mohd Azhar (tengah) menyerahkan sumbangan 50 kerusi roda kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini.

JOHOR BAHRU – Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn (KPJBDOSH)  menyumbangkan sebanyak 50 kerusi roda kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat itu merupakan usaha  Tabung Kebajikan Konsultant KPJBDOSH bagi memudahkan urusan golongan yang memerlukan di institusi perubatan awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital KPJ Wilayah Selatan, Mohd Azhar Abdullah berkata, kira-kira RM15,000 peruntukan dibelanjakan bagi memastikan usaha murni berkenaan dapat direalisasikan.

“Ekoran daripada satu artikel mengenai keadaan kerusi roda di HSA yang tular di laman sosial baru-baru ini, kami terus membuat keputusan untuk membantu menerusi tabung bantuan daripada doktor-doktor pakar kami.

“Sebagai salah satu daripada instusi perubatan di Johor, kami sentiasa mempunyai hubungan yang baik bersama HSA malah beberapa doktor pakar kami juga pernah berkhidmat di sini.

“Apa yang paling utama adalah kami dapat membantu khususnya kepada para pesakit yang amat memerlukan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan kerusi roda di HSA  hari ini.

Penyerahan sumbangan disampaikan kepada Pengarah HSA, Dr Sal Atan.

Mohd Azhar berkata, usaha ingin ditonjolkan itu juga adalah salah satu daripada agenda kesinambungan dan lestari yang ingin diperkasa rangkaian hospital KPJ Healthcare Berhad pada tahun ini.

“KPJBDOSH sedang bergerak ke arah itu (kesinambungan dan lestari), ini kerana kami sedang berkembang dan tidak mahu ia hanya mengenai perniagaan semata-mata. Kami harus meneliti semua aspek termasuk daripada segi kemanusian dan kesedaran alam sekitar.

“Bagi tahun 2024, program ini kita sifatkan sebagai wisel permulaan. Perancangan kami selepas ini mungkin melibatkan mengenai kesedaran alam sekitar pula, sekali gus menepati visi kami untuk lebih kehadapan dalam agenda kesinambungan dan lestari,” katanya.

Sebelum ini, KPJBDOSH juga telah dipilih menjadi salah satu daripada lima rangkaian hospital pertama daripada KPJ Healthcare yang akan dijana menggunakan tenaga pintar solar sejajar dengan keperluan tenaga mampan alam sekitar dalam sektor penjagaan Kesihatan. – MalaysiaGazette