Sunday, May 19, 2024
Home Sukan Jalil Elias pemain termahal Liga Malaysia bernilai RM15 juta

Jalil Elias pemain termahal Liga Malaysia bernilai RM15 juta

Foto Instagram Jalil Elias.

KUALA LUMPUR – Pemain import baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang beraksi di bahagian tengah, Jalil Elias muncul sebagai pemain termahal dalam skuad Harimau Selatan bagi musim 2024/25.

Menerusi semakan di laman Transfermarket, Elias ketika ini mempunyai nilai pasaran semasa iaitu €3 juta atau RM15 juta.

Nilai ini jauh mengatasi pemain kedua termahal JDT iaitu kapten skuad kebangsaan Indonesia, Jordi Amat di mana pemain itu mempunyai nilai pasaran €800,000 atau RM4 juta.

Dua pemain iaitu Fernando Forestieri dan Takahiro Kunimoto menjadi pemain ketiga termahal di mana kedua pemain mempunyai nilai pasaran sebesar €700,000 atau RM3.5 juta.

Ketibaan Elias bakal memberikan variasi di bahagian tengah JDT di mana dia akan bersaing dengan dua pemain yang sentiasa menjadi pilihan untuk membarisi kesebelasan utama iaitu Afiq Fazail dan Hong Wan.

Selain itu, pemain berusia 27 tahun itu juga perlu bersaing dengan pemain lain seperti Nazmi Faiz Mansor dan Syamer Kutty Abba yang baru sahaja pulih dari kecederaan.

Baru-baru ini, Elias tersenarai dalam skuad kebangsaan Syria yang akan beraksi dalam temasya Piala Asia 2023 di Qatar bermula minggu depan.

Ini merupakan kali pertama dia beraksi bersama Syria yang mana pasukan itu diundi dalam kumpulan B bersama Australia, Uzbekistan dan India.

Elias atau nama sebenarnya Jalil Juan Jose Elias sebelum ini beraksi dengan beberapa pasukan dan kelab terakhir yang disertainya adalah San Lorenzo di Argentina dari 2021 hingga 2023.

Semalam, JDT yang merupaka Juara Liga Super 10 kali berturut-turut mengumumkan secara rasmi Elias dari Syria sebagai pemain import baharu skuad Harimau Selatan.
Pengumuman itu dibuat JDT menerusi satu video yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers.
Sejurus tiba di SSI, Jalil disambut oleh Pengarah Sukan JDT, Martin Prest dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Alistair Edwards sebelum menandatangani kontrak. – MalaysiaGazette