MELAKA – Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka sedang menunggu laporan penuh polis berhubung prosedur keselamatan di tapak pembinaan memasang pembetung kekotak di Jalan Bukit Katil di sini hari ini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, laporan diperlukan kerana telah menyebabkan tiga menunggang motosikal terhumban ke dalam parit pagi tadi dan seorang daripadanya maut.
“Siasatan awal JKR dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati kontraktor mematuhi prosedur keselamatan ditetapkan.
“Namun JKR tetap akan membuat siasatan penuh bersama polis,” katanya selepas meninjau kawasan pembinaan projek tebatan banjir di lokasi nahas petang tadi.
Mengulas lanjut, Hameed berkata, JKR juga akan menambah baik pelan pengurusan trafik di tapak bina itu bagi mengelak kejadian sama berulang.
“Ini termasuklah memastikan tiada gangguan kon lencongan selain meningkatkan sistem pencahayaan di kawasan projek,” katanya.
Media hari ini melaporkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas motosikal masing-masing yang ditunggangi terbabas ke dalam parit di Jalan Bukit Katil di sini pukul 6.49 pagi tadi.
Mangsa pekerja kedai serbaneka di Ayer Keroh, Haiqal Iman Mohd Shahruddin Abdul Qayyum, 21, maut di tempat kejadian.
Dua lagi mangsa lain, Chong Min Yang, 58, luka di kaki kiri dan kanan dan Mohd Zaim Bahrin, 32, luka di kepala dan patah kaki kiri menerima rawatan di Hospital Melaka. – MalaysiaGazette