Kereta Bezza yang rosak.

KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) didakwa belum memberi sebarang jaminan untuk membeli Bezza yang rosak tidak sampai lapan jam dibeli.

Pemilik kenderaan, Nagakanni Subramaniam berkata, beliau mengalu-alukan tawaran Perodua untuk membeli kereta tersebut.

“Isunya mudah. Saya beli kereta dengan Perodua enjin rosak kononnya sebab ada material asing seperti gula. Saya tak dapat penggantian kereta baru. Saya masih kena bayar kereta tu setiap bulan.

“Kalau betul Perodua kata nak beli kereta saya, silakan. Tapi mana black and white (perjanjian) tu? Sehingga hari ini saya masih belum ada.

“Jangan buat kenyataan media hanya untuk redakan suasana tapi sebenarnya tak selesaikan pun masalah saya. Saya nak penyelesaian, bukan nak cari gaduh atau tular,” kata beliau.

Nagakanni mengulas kenyataan Perodua telah mengambil beberapa langkah bagi menyelesaikan isu tersebut termasuk menawarkan kereta sementara untuk digunakan serta menawarkan pilihan membeli semula kereta berkenaan

Beliau berkata, sudah lebih dua bulan keretanya rosak dan telah dirujuk kepada Perodua namun masih tidak ada perincian mengenai pembelian, tempoh pembelian dan pembayaran pinjaman.

“Saya dimaklumkan Perodua sudah jawab, tapi saya nak betulkan sedikit fakta.

“Perodua kata, ia telah mengambil beberapa tindakan untuk menyelesaikan perkara itu termasuk dengan menawarkan kereta ihsan dan kami telah mencadangkan untuk membeli semula keretanya.

“Solusi Perodua kepada saya beli kereta kedua dengan cara submit loan kereta kedua. Ada jaminan secara black and white tak yang kata kereta pertama saya akan dibeli semula dan saya tak perlu bayar loan pertama? Tak ada,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kegembiraan memiliki kereta yang baharu dibeli bertukar menjadi mimpi ngeri buat seorang kerani apabila Perodua Bezza yang dibelinya rosak dalam tempoh tidak sampai lapan jam.

Lebih malang, Nagakanni terpaksa membayar pinjaman bulanan ‘kereta baharunya’ itu sebanyak RM537 sebulan, walaupun kenderaan itu kini tersadai di pusat penyelengaraan.

Selepas kejadian itu, dia memohon mendapatkan gantian kereta baharu dengan beberapa kali dihubungi pihak Perodua bagi pelbagai proses sebelum terbaharu pada 8 Disember lalu.

Nagakanni dilaporkan berkata, sehingga kini dia masih belum menerima sebarang jawapan daripada pengeluar kereta itu walaupun telah lebih dua bulan keretannya rosak.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Operasi Perodua JH Rozman Jaafar dalam kenyataan, menepis dakwaan bahawa tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak syarikat untuk menyelesaikan isu terbabit.

Beliau berkata, Perusahaan menjalankan siasatan menyeluruh dan pihaknya memberi jaminan bagi mengutamakan kes pelanggan itu.- MalaysiaGazette