Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas disyaki menggodam dan menjual data peribadi milik agensi kerajaan di laman sesawang gelap (dark web).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di ibu negara pada sambutan Hari Krismas lalu.

Hasil siasatan yang dijalankan oleh JSJK mendapati suspek seorang lelaki tempatan itu disyaki telah menjual data peribadi itu di dalam laman sesawang itu dengan harga dolar Amerika Syarikat (AS) $200 (RM927) untuk setiap set data dan pembayaran diuruskan dalam bentuk mata wang kripto.

Beliau membongkarkan perkara itu pada sidang media khas di sini hari ini.

Tambah Ramli, pengesanan terhadap lelaki itu berjaya dilakukan oleh pihaknya hasil kecekapan dan siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Mata Wang Kripto, JSJK.

Bagaimanapun lelaki itu telah dibebaskan dengan jaminan polis pada 29 Disember lalu selepas dirakam keterangan sementara kertas siasatan dilengkapkan.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997, katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi perkembangan berasingan, Ramli juga memaklumkan portal SemakMULE JSJK yang dibangunkan pihaknya pada 2018 telah memenangi tempat kedua dalam Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AlPSA) 2023 anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia
(MAMPU).

Beliau megangggao kejayaan itu sebagai satu pengiktirafan kepada PDRM khususnya daripada aspek penyampaian perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat.

“Portal tersebut telah dibangunkan dengan matlamat untuk memberikan akses secara langsung kepada masyarakat dalam menyemak akaun bank serta nombor telefon yang mungkin digunakan oleh scammer.

“Penghasilan kami tidak sia-sia apabila setakat ini, sejumlah 160,095 akaun bank serta nombor telefon telah disenaraikan di dalam portal ini.

“Sejak mula dibuka sehingga sekarang, portal SemakMULE telah dilawati sebanyak 24,257,824 kali dan jumlah carian yang dibuat telah mencecah 21,215,287 carian,” ujarnya lagi.

Malah daripada jumlah carian itu sebanyak 1,575,219 percaya carian telah memberikan jawapan positif.

“Kita percaya, maklumbalas tersebut telah membantu pengguna dan menyelamatkan wang mereka dari dipindahkan ke akaun scammer.

“Masyarakat juga dinasihatkan agar terus menggunakan kemudahan ini untuk mengelakkan kerugian dengan tertipu kepada tipu helah scammer,” ujarnya. – MalaysiaGazette