Keadaan mangsa yang maut manakala dua lagi cedera selepas motosikal masing-masing yang ditunggangi terbabas ke dalam parit di Jalan Bukit Katil, Melaka pagi tadi. - Gambar ihsan JBPM

MELAKA – Tindakan orang awam membuka kon menutup lencongan bagi kerja-kerja pemasangan pembetung kekotak di Jalan Bukit Katil di sini dipercayai menjadi punca tiga penunggang motosikal terhumban ke dalam parit menyebabkan seorang maut pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, ketiga-tiga penunggang motosikal berkenaan masing-masing datang dari arah Bukit Katil menuju ke Bukit Beruang.

“Sebaik tiba di lokasi, semua mangsa telah telah masuk ke laluan yang telah ditutup dengan kon oleh syarikat kontraktor projek tersebut dan dilencongnya ke laluan bertentangan.

“Bagaimanapun, kon terbabit dipercayai telah dibuka oleh orang awam mengakibatkan semua mangsa tidak nampak kerja-kerja pembaikan di lokasi kemalangan sebelum terhumban ke dalam parit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tindakan orang awam membuka kon menutup lencongan bagi kerja-kerja pemasangan pembetung kekotak di Jalan Bukit Katil, Melaka dipercayai menjadi punca tiga penunggang motosikal terhumban ke dalam parit menyebabkan seorang maut pagi tadi.

Media hari ini melaporkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas motosikal masing-masing yang ditunggangi terbabas ke dalam parit di Jalan Bukit Katil di sini, pukul 6.49 pagi tadi.

Mengulas lanjut, Christopher berkata, mangsa pekerja kedai serbaneka di Ayer Keroh, Haiqal Iman Mohd Shahruddin Abdul Qayyum, 21, maut di tempat kejadian.

Dua lagi mangsa lain, Chong Min Yang, 58, luka di kaki kiri dan kanan dan Mohd Zaim Bahrin, 32, luka di kepala dan patah kaki kiri menerima rawatan di Hospital Melaka.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast