Pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan selepas menewaskan Kyrgyzstan 4-3 pada perlawanan pertama Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 diantara Malaysia menentang Republik Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 16 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya buat skuad kebangsaan yang akan memulakan kempen Piala Asia 2023 Qatar dalam aksi pembukaan menentang Jordan di Stadium Al-Janoub pada 16 Januari nanti.

Menerusi laman sosial peribadi miliknya, beliau mendoakan agar skuad bimbingan Kim Pan-gon mampu melakukan yang terbaik dalam kempen Piala Asia kali ini.

“Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera.

“Ini pejuang hebat pasukan Harimau Malaya bertarung, sabar, kukuh semangat, istiqamah, 42 tahun kita menanti dan sekarang saudara-saudara bangkit sebagai pejuang dan bertarung.

“Kami doakan inshaAllah akan mencapai sukses, sekali lagi, saya mengucapkan selamat maju jaya selamat berjuang kepada pasukan Haraimau Malaya,” ucapnya dalam satu video.

Selepas 42 tahun penantian layak secara merit, Harimau Malaya akan memulakan perlawanan pertama menentang pasukan yang berada di ranking ke-87 dunia pada 16 Januari sebelum melayani lawan yang lebih kuat iaitu Bahrain dan Korea Selatan.

Dengan prestasi semasa Harimau Malaya di bawah kepimpinan Kim Pan-gon tidak mustahil skuad kebangsaan mampu mara lebih jauh meskipun Piala Asia kali ini merupakan penampilan pertama selepas 42 tahun.

Skuad kebangsaan diperkuatkan dengan pemain naturalisasi baharu, Romel Morales dan bekas bintang La Liga, Natxo Insa yang kembali ke dalam selepas kali terakhir menyarung jersi Harimau Malaya pada 2018. – MalaysiaGazette