PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan oleh polis selepas disyaki memukul isterinya yang sarat mengandung kerana enggan memberikan surat nikah yang disimpan mangsa di Taman Bukit Teratai di Ampang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita suri rumah pada 27 Disember lalu lebih kurang 11 malam mengenai insiden dicederakan suaminya di Taman Bukit Teratai.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa seorang suri rumah ketika berada di dalam rumah berlaku perselisihan faham dengan suaminya selepas suspek mahu mendapatkan surat nikah yang disimpan pengadu.

“Gara-gara tak puas hati, suspek telah bertindak memukul pengadu menggunakan tangan sehingga mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azam, hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati pengadu mengalami kecederaan soft tissue injury pada bahagian kaki, tangan dan muka.

Bertindak atas aduan mangsa, sepasukan anggota pada 2 Januari lalu membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan di Jalan Teratai 2/3, Taman Bukit Teratai disyaki terlibat.

“Hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati negatif dadah dan semakan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau kesalahan dadah.

“Suspek telah dibenarkan direman selama empat hari sehingga 6 Januari ini untuk membantu siasatan lanjut kes ini,” ujarnya.

Kes sedang disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan merujuk kepada dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga merujuk kepada kesalahan boleh tangkap.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast