GAZA CITY – Kawasan paling selatan Gaza, Rafah kini menjadi ‘kem tahanan’ sejuta rakyat Palestin selepas dihalau daripada rumah masing-masing oleh Israel melalui pengeboman dan menembak mati mereka yang cuba kembali ke kawasan masing-masing.
Lebih separuh penduduk Gaza kini terpaksa tinggal dalam khemah, dataran awam atau jalan raya di Rafah yang bersempadan dengan Mesir seolah-oleh mengulangi kekejaman Nazi terhadap penganut Yahudi ketika Perang Dunia Kedua.
Ketua perbandaran Rafah Ahmed al-Soufi berkata, daerah itu sebelum ini mempunyai sekitar 300,000 penduduk menjadikan kawasan itu semakin padat kerana memberi ruang kepada pelarian Palestin daripada utara dan tengah Gaza.
“Jumlah orang yang ada di bandar Rafah pada masa ini tidak kurang daripada 1.3 juta, dengan penduduk bandar itu adalah sekitar 300,000,” katanya kepada Agensi Anadolu.
Beliau berkata bilangan di pusat perlindungan milik Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) adalah kira-kira 713,000, termasuk mereka yang dipindahkan di luar premis pusat itu tetapi berdaftar dengan agensi PBB.
Al-Soufi menegaskan terdapat kira-kira 268,000 pelarian tinggal di dataran awam dan jalanan.
Sejak permulaan perang Israel, ratusan ribu rakyat Palestin yang melarikan diri dari serangan udara Israel di Gaza City telah menuju ke Rafah.
Kemasukan penduduk dari kawasan tengah dan Khan Younis berterusan, di tengah-tengah amaran daripada tentera supaya mereka berpindah segera.
Walaupun tentera Israel mendakwa kawasan di selatan Semenanjung Gaza termasuk Rafah, sebagai zon “selamat” namun kawasan tersebut telah menyaksikan serangan udara yang sengit menyasarkan rumah yang didiami, mengakibatkan kematian dan kecederaan.
Perang yang menghampiri hari ke-100 menyaksikan lebih 22,000 rakyat Palestin dibunuh yang sebahagian besar adalah bayi, kanak-kanak dan wanita.
Hampir 60,000 lagi cedera dan tidak mendapat rawatan sewajarnya kerana Israel turut memusnahkan hospital dan pusat kesihatan.
Beberapa pemimpin Israel dilaporkan berusaha menghalau penduduk Palestin daripada Gaza secara besar-besaran.
Mereka turut membuat perbincangan dengan beberapa negara termasuk Congo untuk menerima pelarian berkenaan dengan menawarkan sejumlah wang kepada mereka.-Agensi