LONDON – Bek tengah, Raphael Varane dilaporkan menuju ke arah pintu keluar dari Old Trafford setelah kontraknya bersama United tidak akan dilanjutkan.
Kontrak Varane dilaporkan akan berakhir pada penghujung musim ini atau Jun depan.
Dalam kontrak tersebut, terdapat klausa di mana Manchester United boleh menyambung kontrak pemain antarabangsa Perancis itu untuk setahun lagi.
Bagaimanapun, sehingga tarikh akhir 1 Januari lalu, United memilih untuk tidak mengambil pilihan ini dan bermakna Varane boleh memulakan rundingan dengan kelab lain.
Namun masa depan Varane bersama kelab itu dilaporkan masih ada sinar namun dia perlu menyambung kontraknya dengan bayaran lebih rendah.
Pemain pertahanan antarabangsa Perancis itu dikatakan memperoleh gaji sebanyak £300,000 setiap minggu dan United dikatakan ingin pemain itu menandatangani kontrak baru dengan gaji lebih rendah.
Sementara itu, Manchester Evening News mendakwa Varane seolah-olah ‘berkecil hati’ dan berasa seperti ‘dibuang’ oleh kelab selepas kelab itu tidak mengambil pilihan untuk menyambung kontraknya.
Setakat ini pihak kelab dilaporkan membuat keputusan yang betul kerana musim ini sahaja Varane telah terlepas tujuh perlawanan kerana mengalami lima kecederaan berbeza.
Secara keseluruhan, pemain pertahanan berusia 30 tahun itu telah terlepas 38 perlawanan daripada jumlah keseluruhan 138 perlawanan sejak direkrut oleh United pada musim panas 2021. – Agensi