KUALA LUMPUR – Siasatan polis terhadap 15 individu mengenai perhimpunan Kepung Demi Palestin tidak menghalang penganjurnya, Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) untuk meneruskan aktiviti sama pada tahun ini.
Jurucakapnya, Tian Chua berkata, sebaliknya SSP akan menganjurkan perhimpunan aman yang jauh lebih besar dengan penglibatan kira-kira sejuta rakyat pada Februari ini.
“Fokus kita untuk memperjuang dan menaikkan isu Palestin, itu sangat penting.
“Kami bela hak asasi dan jiwa untuk rakyat Palestin kini ditekan dan sengsara.
“Kami akan buat mobilisasi pada Februari 2024 melibatkan sejuta rakyat turun nyatakan perasaan dan bantahan terhadap serangan bertubi kepada Gaza,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu Tian Chua bersama 13 individu lain dipanggil untuk memberi keterangan berhubung penglibatan dalam perhimpunan Kepung Demi Palestin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, pagi tadi.
Perhimpunan selama enam hari itu dianjurkan SSP di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), di sini, dari 26 Disember sehingga 31 Disember 2023.
Mengulas lanjut siasatan pihak polis, Tian Chua berkata, proses mengambil keterangan daripada kesemua 14 individu itu tidak menyentuh mengenai Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Polis bertanyakan soalan yang berkaitan dengan perhimpunan Kepung Demi Palestin sahaja.
“Apa yang kami buat tidak melanggar undang-undang dan dilindungi Perlembagaan,” katanya. – MalaysiaGazette