Nagakanni Subramaniam bersama kereta yang baru dibelinya.

KUALA LUMPUR – “Perodua akhirnya setuju untuk beli semula kereta saya dengan harga penuh!”

Itu kenyataan terbaharu seorang pembeli kereta Perodua Bezza mendakwa kenderaan yang dibelinya pada 17 Oktober lalu rosak tidak sampai lapan jam selepas dibeli.

BACA: Bezza dibeli tak sampai lapan jam rosak, disaran buat pinjaman baru

Dengan keputusan ini, Nagakanni Subramaniam tidak perlu lagi membayar ansuran bulanan kereta yang rosak itu dan dan semua bayaran sebelum ini akan diterimanya semula.

“Perodua juga memberi tawaran untuk saya beli kereta kedua dengan kadar pinjaman bulanan yang sama atau untuk saya menolak tawaran ini dan beli kereta lain.

“Saya perlu buat keputusan ni dalam tujuh hari. Terima kasih Perodua atas keputusan ini,” katanya dalam hantaran media sosialnya hari ini.

Nagakanni juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyokong menuntut haknya semula.

“Perjuangan menuntut hak daripada syarikat gergasi bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya seorang kerani yang hanya semut ini. Tapi saya belajar sesuatu.

“Walaupun kita kecil seperti semut, kalau kita bersatu tanpa kira warna dan kaum, kita akan berjaya. Akhirnya, kerana gula, semut bersatu,” ujarnya.

Sebelum ini, Nagakanni mendakwa kereta Perodua Bezza yang dibelinya pada 17 Oktober lalu rosak tidak sampai lapan jam selepas dibeli.

Lebih malang kereta tersebut bukan sahaja tidak boleh dibaiki tetapi juga tidak boleh ditukar dengan yang baharu.

Akibatnya kerani itu terpaksa membayar ansuran bulanan sebanyak RM537 dan pihak penjual hanya boleh memberikan kereta baharu jika dia membuat pinjaman semula.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kalau betul Perodua ingin beli Bezza rosak, silakan – Nagakanni