3 individu yang ditahan kerana disyaki menceroboh kediaman Menteri Besar Selangor.

SHAH ALAM – Polis mengesahkan tiga lelaki yang menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, telah ditahan dan kini dalam proses reman.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi berkata ketiga-tiga lelaki itu, ditahan semalam.

“Ketiga-tiga lelaki ini ditahan semalam dan dalam proses reman. Tempoh reman dan maklumat lanjut (berhubung kes dan penahanan mereka) akan dimaklumkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Terdahulu, semalam tular di media sosial video berdurasi 29 saat, memaparkan tiga individu yang dipercayai menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Seksyen 7 di sini.

Sementara itu, isu tersebut turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menerusi hantaran di aplikasi X memaklumkan bahawa, wartawan merupakan antara tiga individu yang ditahan menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor. – BERNAMA