Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin

KUALA LUMPUR – Jenazah Allahyarham Siti Nor Hafizah Kamarudin atau lebih dikenali sebagai Fiza Kamarudin selamat dikebumikan selepas seminggu meninggal dunia  di Hospital Charing Cross di London, United Kingdom.

Arwah yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih dengan kehadiran lebih 200 orang termasuk rakan wartawan selain keluarga.

Awal pagi tadi, jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur  (KLIA) pada pukul 6.47 pagi dari London.

Selepas selesai urusan di KLIA, Allahyahram terus dibawa ke Masjid Kampung Baru untuk solat jenazah.

Terdahulu, industri kewartawanan tanah air berduka selepas dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham yang meninggal dunia di London ketika bercuti di sana akibat pendarahan otak.

Fiza, 40, dilaporkan pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, sewaktu menunggu penerbangan pulang ke Malaysia selepas bercuti ke negara tersebut sejak pertengahan Disember lalu.

Apa yang menyedihkan, percutian yang dirancang ke London itu merupakan hajat terakhir Allahyarham bagi menunaikan janji bersama anak iaitu Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8. – MalaysiaGazette