Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR – Kuasa autonomi, kawal selia dan eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) masih di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kementerian tersebut hanya memantau di bawah Akta Tugas-Tugas Menteri 1969 serta membentangkan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan LWHNPP kepada Jemaah Menteri dan Parlimen.

“Antara kementerian yang pernah membentangkan laporan adalah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Malaysia dari tahun 2000 hingga 2005; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari tahun 2005 hingga 2014; Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Sumber Manusia,” katanya menerusi kenyataan.

Walau bagaimanapun, kerjasama di antara kerajaan negeri dengan Persekutuan demi memperkasakan lembaga berkenaan amat penting dan dialu-alukan.

“Kementerian Perpaduan Negara amat mengalu-alukan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan persekutuan dalam memperkasakan lembaga ini,” tambahnya.

Untuk ekod, LWHNPP telah ditubuhkan pada 1 Januari 1906 di bawah Ordinan Wakaf – Wakaf Hindu (Ordinan 17), tahun 1905.

LWHNPP adalah sebuah Badan Berkanun yang ditubuhkan untuk mentadbir, menyelenggara dan menyelia wakaf-wakaf hindu yang telah diberi atau akan diberi untuk maksud keagamaan, kebajikan, khairat dan memberi manfaat termasuk pendidikan termasulah menyimpan kira-kira harta benda termasuk wang dan barang-barang kemas wakaf dan kuil berkenaan.

Setelah Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, pentadbiran lembaga itu diletakkan di bawah kuasa Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sejak itu hingga kini, pengerusinya dilantik oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan persetujuan TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Semalam, Aaron dilaporkan berkata, LWHPP kini bawah Kementerian Perpaduan.-MalaysiaGazette