Laluan lokasi pembunuhan kejam seorang wanita apabila kepala, kedua-dua tangan dan kaki dipotong di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang Alor Gajah, Melaka Ahad lalu dikelilingi rumah terbiar dan jauh daripada masyarakat kampung

ALOR GAJAH – Kawasan pembunuhan kejam seorang wanita yang kepala, kedua-dua tangan dan kakinya dipotong di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang Alor Gajah, Melaka Ahad lalu dikelilingi rumah terbiar.

Tinjauan MalaysiaGazette di lokasi penemuan mayat wanita lingkungan 20 hingga 30-an itu yang disumbatkan ke dalam tong sampah sebelum dibuang di longkang mendapati, tiada penduduk tinggal di kawasan berdekatan.

Walaupun terletak di laluan utama Jalan Alor Gajah-Tampin yang sibuk dengan kenderaan, lokasi mayat ditemui orang awam pada 2 petang Ahad lalu jauh dari penglihatan masyarakat.

Usaha wartawan untuk menemubual penduduk di rumah berhampiran yang terletak kira-kira 100 meter tidak berhasil apabila tidak berpenghuni.

Dua buah rumah bersebelahan lokasi juga didapati terbiar sehingga dipenuhi semak samun.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan penemuan mayat berkenaan dalam keadaan tragis tanpa pakaian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Arshad Abu dilaporkan berkata, mayat dipercayai dibunuh antara tujuh hingga 10 hari berdasarkan darah dan mayat yang sudah mulai reput.

“Kita juga sedang mengesan lagi bahagian kepala, kaki dan tangan yang tidak ditemui pada mayat.

“Badan mayat juga tidak mempunyai sebarang kesan seperti tanda lahir atau tatu,” kataya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga terdekat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.

Mereka juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 065562222 atau Pegawai Penyiasat Kanan Deputi Supritendan Ali Hanafiah Hashim di nombor 019-9536277. – MalaysiaGazette

Mayat wanita bogel tanpa kepala, kaki, tangan ditemui dalam tong sampah