majlis Program Jualan Agro Madani anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang berlangsung di Lotus Ampang di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berjaya menganjurkan 5,608 Program Jualan Agro Madani melebihi sasaran yang ditetapkan sebanyak 5,000 lokasi dan berjaya mencatatkan 2.9 juta pengunjung sehingga 31 Disember lalu.

Timbalan Menteri, Datuk Athur Joseph Kurup berkata, program itu turut mencatatkan penglibatan seramai 74,800 usahawan dengan nilai jualan RM93.7 juta sepanjang penganjurannya.

Menurutnya, program itu secara tidak langsung meningkatkan pendapatan pengeluar yang dapat menjual barangan atau hasil pengeluaran mereka terus kepada rakyat tanpa melalui orang tengah.

“Impaknya kepada masyarakat umum, kita berjaya memberikan penjimatan harga barangan sebanyak RM27.8 juta kepada lebih kurang 11.6 juta isi rumah di seluruh negara.

“Selain itu, saya difahamkan Lembaga Pertubuhan Perladangan (LPP) turut melaksanakan program Jualan Agro Madani di seluruh negara termasuk Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula pada April tahun 2023.

“Sehingga Disember 2023, LPP telah menjayakan sebanyak 14 program jualan di seluruh negeri melebihi sasaran 106 program jualan. Program yang telah dilaksanakan ini melibatkan jumlah hasil jualan sebanyak RM2.16 juta melibatkan kuantiti jualan sebanyak 238,000 metrik tan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Program Jualan Agro Madani anjuran LPP di Lotus Ampang di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar.

Arthur memberitahu, kementerian serta jabatan dan agensi di bawahnya  sentiasa merancang dan melaksanakan pelbagai program dan pendekatan bagi memastikan bidang pertanian dan industri makanan asas tani negara dapat diperkasa dan mensejahterakan rakyat.

Katanya, Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang digubal merupakan suatu komitmen penting kerajaan yang diterajui oleh  untuk memastikan matlamat dan halatuju sekuriti makanan negara dapat dilaksanakan dengan lancar menerusi transformasi dan pemodenan terhadap sistem rantaian bekalan makanan negara secara menyeluruh bagi menampung keperluan domestik.

“Ini selaras dengan aspirasi dan usaha kerajaan bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dan terjamin untuk keperluan rakyat Malaysia selari dengan Dasar Sekuriti Makanan Negara yang memberikan tumpuan kepada Ketersediaan, Akses, Penggunaan serta Kestabilan dan Kemampanan.

“Dalam usaha memastikan keterjaminan Makanan, saya dimaklumkan bahawa LPP mempunyai sebanyak 162 Peladang Outlet yang diuruskan oleh Pertubuhan Peladang dengan penglibatan usahawan peladang.

“Saya yakin Peladang Outlet ini mampu membantu kerajaan dalam memasarkan bekalan makanan untuk keperluan masyarakat setempat sebagai pusat pengumpulan hasil ladang, pusat pengedaran, pemborongan dan peruncitan hasil pertanian dan juga produk-produk industi asas tani mampu meningkatkan pendapatan pengeluar dan pengusaha kecil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast