penjara
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 52 orang yang terdiri daripada warga asing dan tempatan ditahan dalam satu operasi Khas yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di tiga lokasi di sekitar ibu negara, kelmarin.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, kesemua mereka ditahan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya kerana dipercayai terlibat dengan sindiket pelacuran outcall girl.

Katanya, operasi itu dijalankan susulan aduan dan risikan yang dibuat selama dua minggu.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pasukan operasi telah diatur gerak ke premis dan menahan 32 orang perempuan warganegara Indonesia, 13 orang perempuan warganegara Thailand, tiga orang perempuan warganegara Vietnam dan seorang lelaki warganegara Afghanistan berusia 18 hingga 36 tahun.

“Manakala, seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 34 tahun yang dipercayai sebagai transporter dandua o rang lelaki warganegara Malaysia sebagai penjaga premis berusia 35 hingga 44 tahun turut ditahan.

“Jumlah keseluruhan yang telah ditahan adalah seramai 52 orang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Jafri, hasil semakan awal mendapati lapan orang perempuan warganegara Thailand yang ditahan memiliki pas lawatan sosial (PLS) yang masih sahlaku, manakala, yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

Pasukan operasi juga katanya, merampas sejumlah kondom, peralatan seks, lapan naskhah pasport Thailand, wang tunai sebanyak RM300, tuala, peralatan kamera litar tertutup (CCTV) dan sebuah kenderaan Perodua Axia.

Katanya, modus operandi sindiket terbabit adalah melakukan promosi wanita warganegara asing dengan menggunakan foto-foto mereka melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp.

Jelasnya, wanita warganegara asing yang dipilih akan diuruskan penghantarannya ke hotel atau tempat yang dikehendaki pelanggan melalui setiap pesanan daripada seorang lelaki warganegara Malaysia yang berperanan sebagai transporter.

“Bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan antara RM400.00 hingga RM1,200.00 mengikut pakej yang disediakan oleh sindiket dan dipercayai sindiket telah beroperasi selama setahun.

“Transaksi bayaran yang dilakukan pelanggan adalah melalui tunai atau secara dalam talian sebelum outcall girl diserahkan kepada pelanggan,” ujarnya.

Tambah beliau, kesemua warga asing itu ditahan kerana telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Semenyih.

Manakala, seorang lelaki warga Malaysia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

Dua lagi lelaki warganegara Malaysia yang turut telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, katanya.

“Seramai lima orang lelaki warganegara Malaysia diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” ujar Jafri.

Tambahnya, JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan
Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast