Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berucap pada program Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 di Hotel Sama Sama, Sepang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 08 JANUARI 2024.

SEPANG – Seorang bekas Perdana Menteri akan dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan terdahulu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, walaupun dana itu melibatkan pentadbiran dua bekas Perdana Menteri namun hanya seorang sahaja akan dipanggil.

“Dalam masa terdekat, mungkin minggu ini, paling lewat pun minggu depan.

“Serahkan kepada kami, salah seorang daripada mereka akan dipanggil, saya fikir salah seorang sahaja setakat ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada Selasa lalu, media melaporkan SPRM telah ke Kementerian Kewangan (MoF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi proses siasatan dan mengumpulkan maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan.

Siasatan dibuat berdasarkan maklumat awal yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran pada November tahun lalu.

Prabakaran ketika itu meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini.

Media sebelum ini juga melaporkan Kerajaan Persekutuan membelanjakan hingga RM700 juta untuk pengiklanan, promosi dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2022.

Dalam pada itu, Azam juga mengesahkan sekurang-kurangnya tiga individu lain akan termasuk kakitangan bekas Perdana Menteri terbabit.

“PM dan juga bekas PM dan individu dalam keliling ini, yang terlibat dalam pejabat beliau. Individu yang akan dipanggil tidak kurang empat orang,” katanya.

Ditanya tentang syarikat yang menerima dana kerajaan itu, beliau berkata, pihaknya ada berhubung dengan pihak terbabit.

“Ya, kita sudah hubungi,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast