Petugas unit vektor Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja-kerja penyemburan asap di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Menara City One untuk mencegah pembiakan nyamuk Aedes ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sepanjang tahun 2023 adalah sebanyak 123,133 kes, meningkat sebanyak 57,031 kes (86.3%), berbanding 66,102 kes bagi tahun 2022.

Manakala jumlah kumulatif kematian akibat komplikasi denggi sebanyak 100 kes berbanding 56 bagi tempoh yang sama pada tahun 2022, iaitu peningkatan 44 kematian (78.6%), kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Menurutnya, sebanyak 2,715 kes demam denggi yang dilaporkan pada minggu Minggu Epidemiologi ke- 52, pada 24 hingga 30 Disember 2023 berbanding 2,913 kes pada minggu sebelumnya.

Ia merupakan penurunan sebanyak 198 kes (6.8%) namun menyaksikan empat kes kematian.

Sebanyak 134 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 131 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 104 lokaliti berada di Negeri Selangor, Perak (9), Kuala Lumpur dan Putrajaya (8), Negeri Sembilan (7), Pulau Pinang dan Sabah (2) serta masing- masing satu di Kedah dan Sarawak.

Dalam pada itu, satu kes chikungunya direkodkan pada minggu ke-52 menjadikan jumlah kumulatif bagi tahun 2023 adalah 197 kes berbanding 814 kes pada tahun sebelumnya.

Bagi survelan zika sepanjang tahun 2023, sebanyak 3,939 sampel darah dan 445 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Muhammad Radzi berkata, peranan membendung kes denggi bukan hanya terletak kepada Kementerian Kesihatan semata-mata, tetapi perlu melibatkan kerjasama daripada pelbagai kementerian, jabatan, agensi, syarikat swasta, badan bukan kerajaan, dan masyarakat awam termasuk sukarelawan.

Penglibatan holistik dan komprehensif ini dapat mengurangkan penularan penyakit demam denggi ke tahap yang minima sehingga penyakit denggi bukan lagi ancaman kepada kesejahteraan rakyat.

Faktor kebersihan persekitaran dengan tabiat segelintir masyarakat yang tidak melupuskan sampah di tempat pelupusan sampah yang disediakan merupakan antara penyumbang utama kepada tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes seterusnya menyebabkan peningkatan kes denggi.

Justeru, masyarakat disarankan untuk terus melakukan aktiviti ‘cari dan musnah’ tempat-tempat pembiakan Aedes secara konsisten di kawasan persekitaran kediaman masing- masing sekurang-kurangnya 10 minit sekali seminggu. – MalaysiaGazette