Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap semasa Perhimpunan Jabatan Perdana Menteri di Dewan De'Seri Endon, Puspanita Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 8 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Semua ketua agensi dan jabatan kerajaan perlu menyediakan laporan bulanan sebagai kaedah baharu dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, laporan tersebut mengenai kemajuan projek dan apa yang disumbangkan setiap bulan tanpa menunggu laporan tahunan yang diamalkan dasar sebelum ini.

Menurut Anwar ia boleh disalurkan bermula dengan ketua pengarah dan seterusnya dihantar ke Ketua Setiausaha setiap kementerian sebelum diserah kepada Ketua Setiausaha Negara dan makluman beliau.

“Tetapi ada kaedah baharu yang kita hendak perkenalkan mesti ada laporan bulanan dan apa yang dilakukan serata apakah sumbangan saudara untuk dalam melaksanaka projek itu.

“Dan ini laporan bulanan yangg harus dihantar dari KSU, kepada KSN dan juga untuk makluman saya supaya ada Pendekatan yang agak berbeda.

“Saudara diamanahkan dan kita semua diamanahkan dan kita tidak tunggu banyak laporan satu tahun di mana tiap-tiap bulan ada kemajuan yang jelas dan sumbangan saudara melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar menyarankan sektor pendidikan negara tidak boleh lagi terikat dengan acuan lama dan melakukan anjakan paradigma.

Tegas beliau, penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid dan pelajar perlu dipertingkatkan agar lebih baik berbanding sebelum ini.

“Tetapi peningkatan penggunaan bahasa Inggeris harus diberi keutamaan,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berharap program digital dilaksanakan dengan lebih drastik dan agresif dalam usaha Malaysia tidak ketinggalan berbanding negara lain.

Perdana Menteri berkata, sebab itu Kementerian Digital ditubuhkan supaya negara dapat memberi fokus dalam bidang berkenaan.

“Program digital harus dilakukan drastik, agresif daripada yang dahulu, kalau tidak kita akan ketinggalan, begitu juga program lain di kementerian lain umpamanya digital.

“Saya tidak fikir Malaysia boleh bersaing dengan pantas, dengan tahap kelajuan yang dicapai oleh negara lain tanpa fokus dalam bidang digital,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast