Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Cameron Highlands adalah lawatan pasca bencana di Kampung Orang Asli Sungai Ruil susulan kejadian tanah runtuh pada bulan Oktober lalu.

KUANTAN – Dakwaan Presiden UMNO telah mengarahkan agar semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berkumpul di Cameron Highlands bagi tujuan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri tidak betul dan fitnah semata-mata.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan dakwaan yang dilontarkan penulis blog, Raja Petra Raja Kamaruddin.

Ia dianggapnya sekadar usaha Raja Petra untuk mensensasikan isu Langkah Dubai.

”Ia dibuat pula oleh seorang penulis blog veteran yang mengabdikan diri di luar negara kerana takut diambil tindakan atas fitnah-fitnah yang dibuat hampir setiap hari.

”Maka saya menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak percaya dengan fitnah murahan seperti ini,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Sebaliknya, Menteri Besar Pahang itu menjelaskan, kehadiran Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri ke Cameron Highlands pada Sabtu adalah lawatan pasca bencana di Kampung Orang Asli Sungai Ruil susulan kejadian tanah runtuh pada bulan Oktober lalu.

”Hasil daripada lawatan tersebut beberapa keputusan mustahak yang menguntungkan rakyat juga telah dibuat. Ia kemudiannya disusuli dengan program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO bersama UMNO Bahagian Cameron Highlands.

“Program ini dihadiri oleh pimpinan UMNO peringkat negeri dan bahagian,” jelasnya.

Wan Rosdy yang Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai itu berkata, UMNO akan terus menjunjung titah Yang Dipertuan Agong yang telah menggunakan wewenang baginda untuk mencadangkan agar Kerajaan Perpaduan ditubuhkan sebelum ini.

Beliau berkata, fokus dan tumpuan sepenuhnya akan diberikan kepada negara dan rakyat, bukan bermain politik murahan yang merugikan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast