Ayob Khan pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Dalam usaha untuk memerangi ancaman dadah dan bahan psikoaktif baru (NPS) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalinkan kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Jalinan kerjasama itu bagi meningkatkan penyelidikan dan latihan serta meneroka ilmu baharu berkaitan dadah, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurut beliau, dana sebanyak RM1.2 juta yang diberikan akan digunakan untuk menambah baik instrumen makmal selain, memantapkan penyelidikan berkaitan dadah secara menyeluruh.

“Jaringan kerjasama strategik ini diharapkan mampu mempertingkatkan lagi usaha PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah dengan lebih efektif.

“Kerjasama ini bagi peluang kepada penyelidik meneroka ilmu baharu yang seterusnya digunakan sebagai metodologi pelaksanaan operasi anti dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama PDRM bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bukit Aman hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Mohd Ekhwan Toriman dan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, antara tujuh aspek penyelidikan yang akan dilaksanakan dalam kerjasama tersebut adalah melaksanakan kajian dan penyelidikan berkenaan perincian sebatian aktif.

“Pertama, kajian ini akan menentukan apakah bahan-bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan dadah.

“Ini bagi membolehkan polis dengan kerjasama Lembaga Racun di bawah Kementerian Kesihatan untuk merangka satu SOP (prosedur operasi standard) atau undang-undang baharu,
ataupun memperkemas undang-undang yang ada bagi mengawal ketat bahan bahan kimia berkenaan,” katanya.

Tambah Ayob Khan, turut dijalankan kajian bagi mengenal pasti bahan-bahan kimia yang boleh mendorong pengguna menjadi lebih ganas dan terbabit dalam jenayah kekerasan dan harta benda.

Mengikut kajian dibuat awal dibuat pihak JSJN, hampir 60 peratus penagih dadah yang ditangkap terlibat dalam jenayah kekerasan dan harta benda.

Selain itu, beliau berkata, kerjasama strategik itu turut akan melaksanakan kajian dan penyelidikan berkaitan penentuan kadar dos ketagihan.

“Ia bagi menentukan kadar minima dos yang boleh mendorong penagih ketagih dadah selain menentukan proses rawatan dan pemulihan mereka kelak.

“Melalui kerjasama ini kita juga akan melaksanakan penyelidikan penjejakan molekul asal dadah bagi menentukan jenis dadah yang akan memudahkan penyiasatan polis.

“Seterusnya membangunkan pangkalan dadah forensik NPS untuk rujukan agensi penguatkuasaan di Malaysia dan di Asia Tenggara. Pangkalan data ini akan ditempatkan di makmal forensik Kuala Lumpur,” tambahnya.

Dalam pada itu,  Ayob Khan berkata, PDRM dan UKM juga akan bekerjasama dalam menghasilkan strip ujian jenis elektrod biosensor yang lebih berkualiti dan tepat.

Bagi membanteras sindiket dadah yang beroperasi di bangunan seperti kondominium, beliau memaklumkan turut dijalankan kajian menerusi residu dadah di loji kumbahan.

“Ini menyasarkan kepada bangunan tinggi seperti kondominium, kawasan perumahan elit dan gated community untuk mengesan pengguna dan makmal dadah,” katanya.

Menerusi kerjasama itu, Ayob Khan memberitahu, pihaknya turut menghantar lapan pegawai membabitkan seorang pegawai berpangkat asisten supritendan dan tujuh inspektor untuk mengikuti kursus jangka panjang dan pendek dalam peringkat penyelidikan.

“Mereka bakal mengikuti enam kursus jangka panjang dan dua sijil profesional untuk memantapkan lagi siasatan dan juga operasi terhadap sindiket dadah,” jelasnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast