SEPANG – Kerajaan tidak akan tunduk kepada mana-mana tokoh besar daripada dikenakan tindakan undang-undang meskipun mereka mempunyai pengaruh dan dana besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya badan penguatkuasaan mempunyai bukti salah laku rasuah dan penyelewengan – pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.

“Tindakan itu diambil terhadap tokoh-tokoh besar, ia menjadi kontroversi, tokoh-tokoh ini punyai dana besar, punya pengaruh, punyai media sosial dan tentunya akan mencabar kekuatan yang ada.

“Sebab itu arahan saya umum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Biar ada data, fakta, alasan yang cukup dan kukuh sekiranya ada, saya tak peduli kedudukannya, pengaruhnya, dananya tetapi tindakan tegas harus diambil.

“Kita telah mula, saya ucap tahniah kepada SPRM yang menunjukkan keberanian,” katanya berucap merasmikan Simposium Tatakelola Baik Nasional di sini hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga berkata, amalan tokey-tokey besar yang boleh melepaskan diri daripada hukuman hanya menggunakan pengaruh akan dibanteras habis-habisan.

“Kalau ditangkap pun, cepat dilepaskan, itu baiknya pengalaman saya di Sungai Buloh kerana saya penah nampak orang besar ditangkap tapi cukup yakin dalam tiga empat bulan boleh lepas.

“Maknanya ada andaian bahawa seluruh jenteranya, badan penguatkuasaan, badan perundangan, badan kehakiman itu boleh dipengaruhi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette