BUKIT MERTAJAM – Tiada unsur jenayah kes penemuan mayat lelaki dalam keadaan dibungkus kain selimut yang ditemui orang awam di tepi jalan di Kuala Tasek Machang Bubok di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, hasil bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Bukit Mertajam mendapati mangsa mati akibat saluran darah menyempit.
Mangsa juga disyaki warga asing susulan tiada tanda suntikan Bacilus Calmette-Guerin (BCG).
“Selain itu, siasatan dan pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah ditemui pada tubuh mangsa.
“Bagaimanapun identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Cheng San meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tampil untuk membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di talian 04 538 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Pada Sabtu lalu tular satu rakaman video menunjukkan mayat seorang lelaki ditemui berhampiran kawasan kelapa sawit dalam keadaan berbalut kain selimut.
Hasil pemeriksaan polis di lokasi kejadian mendapati tiada dokumen pengenalan diri ditemui dalam milikan mangsa yang memakai baju-T berwarna hijau serta berkain pelikat kelabu. – MalaysiaGazette
















