Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Inisiatif kerajaan untuk mengurangkan isu panggilan terputus membuahkan hasil, kata Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, berdasarkan kepada laporan Suruhanjaya Komunikasi (MCMC), peratusan kes panggilan terputus berjaya diturunkan antara 10 sehingga 74 peratus.

“Hasil daripada usaha ini, pihak MCMC telah membentangkan terdapat penurunan panggilan terputus untuk setiap rangkaian mudah alih 4G antara 10 sehingga 74 peratus (berdasarkan data yang dilaporkan kepada MCMC),” katanya dalam sidang media ujian kualiti perkhidmatan selular panggilan suara di kementeriannya, hari ini.

Program pada hari ini merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi melalui MCMC untuk menguji sendiri kualiti liputan perkhidmatan suara oleh penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih iaitu Celcom Digi, Maxis, U Mobile, YTL, Telekom Malaysia.

Dari tempoh 1 Januari 2023 sehingga 13 Disember 2023, hasil pengauditan yang dijalankan oleh MCMC menunjukkan sebanyak 1,837 panggilan terputus direkodkan.

Ini termasuk kes-kes yang berlaku di luar kawasan liputan.

Dalam pada itu, Fahmi mengumumkan tiada lagi bayaran tambahan yang dikenakan oleh syarikat telekomunikasi kepada pengguna untuk mendapatkan akses kepada rangkaian 5G.

“Pengguna mempunyai pelbagai pilihan penawaran pelan dan perkhidmatan tambahan berdasarkan kesesuaian penggunaan individu.

“Bagaimanapun, pengguna perlu memastian peranti yang digunakan menyokong rangkaian 5G,” kata Fahmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast